top of page

Kesimpulan

Secara keseluruhannya, pandangan semesta Tamadun Melayu telah melalui beberapa peringkat evolusi. Malah jika diteliti dengan lebih mendalam, zaman penjajahan, zaman menuntut kemerdekaan serta zaman kontemporari juga telah mempengaruhi pembentukan pandangan semesta masyarakat Melayu. Namun secara amnya, Islam sememangnya telah berakar umbi dalam pemikiran serta pembentukan pandangan semesta terhadap masyarakat Melayu. Namun unsur-unsur tradisi masih mempunyai pengaruh yang besar dalam kehidupan seharian mereka. NIlai bahasa dan budaya adalah amat penting dalam pembentukan negara bangsa. Adalah penting untuk mempertahankan nilai-nilai yang dimiliki oleh masyarakat setempat. Sebagai sebuah negara bangsa yang masyarakatnya berbilang kaum dan agama seharusnya memiliki pelbagai nilai dan norma. Hal ini dapat diperhatikan dalam perlakuan-perlakuan harian masyarakat setempat. Bahasa dan budaya Melayu merupakan asas bagi pembentukan tamadun Malaysia hingga kini. Masyarakat Melayu amat menitikberatkan perlakuan seseorang dalam meletakkan kedudukannya dalam masyarakat. Seperti yang telah dibincangkan dalam kajian ini, pengaruh agama Islam terhadap masyarakat Melayu amat mendalam sekali. Sehingga membentuk nilai ketaatan dan keimanan kapada Allah S.W.T sehingga membentuk nilai-nilai baru adalah dalam budaya Melayu. Dalam konteks negara bangsa, adalah amat penting bagi masyarakat kini menilai dan menghayati kembali nilai-nilai dalam budaya Melayu yang telah menjadi asas dalam pembentukan tamadun Malaysia. Sebagai sebuah negara yang majmuk, seharusnya kerjasama dan toleransi amat penting untuk mengekalkan keamanan dan keharmonian. Penerapan nilai bahasa dan budaya Melayu perlu dilaksanakan oleh semua pihak dan pelbagai bidang. Walaaupun amat dititikberatkan dalam pendidikan Islam dan Moral dalam pembelajaran, namun institusi lain juga harus menerapkan nilai-nilai tersebut. Semua pihak haruslah berganding bahu bagi mengekalkan nilai-nilai budaya yang selama ini menjadi asas bagi keharmonian dan ketamadunan negara Malaysia. Konsep 1Malaysia yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri Malaysia yang Ke-6 haruslah diiringi dengan penerapan nilai-nilai budaya Melayu. Begitu juga dengan nilai-nilai budaya masyarakt yang lain. Saling menghormati dan terbuka akan meningkatkan lagi keharmonian masyarakat Malaysia. Oleh yang demikian, adalah satu kepentingan untuk memupuk nilai-nilai budaya masyarakat Melayu kepada masyarakat zaman sekarang supaya dapat mengekalkan kemerdekaan, keamanan  dan kesejahteraan masyarakat Malaysia. Untuk mengulangi zaman kegemilangan Melayu ketika dahulu, generasi hari ini perlu kembali memahami dan menghayati agama Islam dalam erti kata yang sebenar kerana Islam adalah dinamik dan progresif.

bottom of page